Sk Sebayan, Kudat

Sk Sebayan, Kudat

09 March 2010

TM TINGKATKAN KEMAHIRAN ICT SEKOLAH

TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dengan kerjasama Multimedia Development Corporation (MDeC) menganjurkan program pendidikan berasaskan multimedia yang dikenali sebagai Digital Story Telling (DST) dalam usahanya memupuk kesedaran tentang manfaat aplikasi-aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam kalangan pelajar sekolah.

Dengan sasaran untuk menggalakkan penggunaan aplikasi ICT dalam aktiviti pembelajaran dan pengajaran (P&P), program DST ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah serta guru-guru.Untuk fasa pertama, program itu telah dianjurkan di 11 buah sekolah di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor membabitkan seramai 160 peserta. Naib Presiden Eksekutif Sektor Kerajaan TM, Datuk Kairul Annuar Mohamed Zamzam berkata, mereka tertarik dengan karya hasil murid-murid tersebut memandangkan mereka masih lagi di peringkat sekolah rendah.
``Program ini telah membantu meningkatkan pengetahuan dan kemahiran murid berkenaan dan secara amnya meningkatkan kesedaran ICT mereka.``Kami amat berharap pengetahuan yang dimiliki akan terus dimanfaatkan dalam pembelajaran mereka dan seterusnya membantu memperbaiki prestasi akademik murid-murid tersebut,'' katanya.Beliau berharap agar program tersebut turut memberi manfaat kepada guru kerana mengguna pakai pengetahuan ICT yang diperolehi semasa sesi pengajaran dan seterusnya menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan menarik di sekolah.

``Program DST ini juga merupakan usaha TM untuk menggalakkan penghasilan kandungan janaan pengguna yang akan memacu perkembangan industri kandungan dan aplikasi tempatan.``Ia sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan kandungan pendidikan, hiburan dan janaan pengguna tempatan yang kaya dengan multimedia bersesuaian dengan budaya dan cara hidup rakyat tempatan bagi mewujudkan aktiviti jalur lebar yang lebih tertumpu dalam negara,'' jelas beliau.

Jelasnya lagi, murid-murid dan guru diberikan latihan serta kelas berkenaan peralatan ICT, perisian penghasilan filem seperti PhotoScape, PhotoStory dan Audacity dan juga aplikasi-aplikasi multimedia yang lain.Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi kemudian digunapakai semasa murid berkenaan mahu menghasilkan filem pendek selama tiga hingga lima minit berkenaan budaya, warisan, alam sekitar, pelancongan dan nilai-nilai sosial rakyat negara ini.

Murid-murid berkenaan diberi pendedahan tentang bagaimana cara untuk menghasilkan storyboard, mendapatkan sumber, melakukan pengambaran, merakam suara latar serta memasukkan kesan visual dan bunyi bagi filem tersebut.Seterusnya, filem pendek itu dipertontonkan kepada barisan panel hakim untuk dinilai pada peghujung program dan pemenang dari setiap negeri dipilih. Sekolah-sekolah yang menyertai program tersebut adalah SK Padang Sebang dan SK Kem Terendak 1 dari Alor Gajah, Melaka; SK Peradong, SK Kampai, SK Amar Penghulu dan SK Dato' Undang Abdullah dari Jelebu, Negeri Sembilan serta SK Temenggong Ibrahim, SK Seri Pengkalan, SK Seri Belahan, SK Seri Rejo Sari dari Batu Pahat dan SK Sungai Tongkang dari Rengit, Johor.

SK Padang Sebang dipilih sebagai pemenang bagi negeri Melaka dan SK Amar Penghulu merupakan pemenang bagi Negeri Sembilan sementara pemenang untuk negeri Johor ialah SK Seri Belahan.
Sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dalam program itu adalah antara 25 buah sekolah angkat GITN Sdn. Bhd. (GSB), yang merupakan sebuah anak syarikat TM di bawah program GSB TechnoGogy Learning in Schools (GTL Schools).Ssemua sekolah di bawah program GTL Schools ini dilengkapi dengan kemudahan ICT termasuk komputer riba, kamera web dan poin sambungan tanpa wayar serta kelas-kelas latihan secara intensif berkenaan aplikasi internet untuk murid-murid dan guru bagi membantu mereka dalam persekitaran pengajaran dan pembelajaran.

Program GTL Schools merupakan sebahagian daripada projek SchoolNet yang merupakan kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan Kementerian Pelajaran yang dilaksanakan oleh GSB.Bagi memastikan kelancaran dan kejayaan pelaksanaan projek tersebut, setiap sekolah GTL Schools dilengkapi dengan seorang penyelaras yang akan membantu sekolah tersebut mengadakan kelas-kelas ICT dan internet bagi murid-murid dan para guru

No comments:

Post a Comment